Skip to main content

Program GTR Talk bersama Pengasas GTR Burger, En. Mohd Najib Jalil

Mengenai Program

Kehangatan Universiti dalam menuju Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030) diteruskan lagi dengan Program GTR Talk bersama Pengasas GTR Burger, En Mohd Najib bin Jalil. Program ini merupakan anjuran Pihak Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) dengan kerjasama padu Kolej Perwira, UTHM. Turut hadir beberapa rakan kongsi GTR burger dalam sesi perkongsian ilmu keusahawanan bersama pelajar UTHM sepanjang program ini. PTU menaruh harapan tinggi agar Program ini dapat membuka jalan kepada para pelajar untuk memulakan perniagaan dan memantapkan ilmu keusahawanan mereka.

Peserta disambut dengan penuh kehangatan pada jam 10 pagi dan disajikan dengan sarapan pagi sebelum sesi bermula. Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu keusahawanan diketuai oleh Pengasas GTR Burger, En Mohd  Najib bin Jalil. Banyak input dan manfaat yang telah dikongsikan dan ini sedikit sebanyak dapat membuka minda para pelajar dalam mendalami bidang keusahawanan. Beliau berkata. “Bukan senang untuk kita menghadapi dunia perniagaan ini. Banyak cabaran dan saingan yang perlu kita tangani, terutama sekali kecaman daripada pelanggan”. Beliau turut berkongsi tips perniagaan yang efektif dan sistem perniagaan yang digunakan oleh GTR Burger. GTR Burger merupakan bisnes jalanan bukan biasa-biasa. Ia adalah yang pertama di Malaysia yang menggunakan sistem aplikasi digital bagi memantau kewangan pemilik gerai. Dengan sistem ini, peniaga dengan mudah mengetahui untung rugi, kira-kira kewangan mereka setiap hujung bulan.

GTR itu sendiri membawa maksud, Generasi Transformasi Ruminan dimana mereka bersama-sama mempromosikan produk daging lembu dan daging kambing tempatan sebagai produk hiliran kepada orang ramai. “Kami juga membuka peluang kepada semua rakyat Malaysia, yang berkelayakan untuk bergabung dengan kami dalam membina perniagaan GTR Burger di seluruh negara,” kata beliau lagi. Ruminan itu sendiri membawa maksud haiwan yang mempunyai 4 bahagian perut seperti, lembu, kambing dan rusa. GTR Burger kini mempunyai lebih daripada 50 cawangan di seluruh Malaysia dan ini memudahkan pelajar yang berminat dalam aktiviti keusahawanan untuk sertai mereka kerana menurutnya lagi, ramai pelajar daripada Universiti lain turut berniaga GTR Burger ini.

Sesi perkongsian diteruskan bersama En Ahmad Syazmi, Pengasas GTR burger Cawangan Taman Universiti Indah dan Taman Equine, Serdang Selangor. “Setelah merasa keenakan dan keunikan rasa burger GTR saya mula mencari maklumat mengenainya dalam media sosial Facebook,” katanya yang telah mempunyai dua gerai GTR burger di Lembah Klang. Selama lima bulan bergiat dengan GTR Burger, Syazmi berkata gerai burgernya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti sekitarnya. “Dengan GTR Burger saya dapat menambahkan ilmu dalam menguruskan perniagaan dalam bidang makanan di samping menambah pendapatan. Syazmi berkata, GTR Burger banyak mengubah hidupnya semasa negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Seterusnya, Puan Maria Ismail turut berkongsikan pengalaman beliau sepanjang menguruskan dua buah gerai GTR burger di Ilir Jaya dan Rebana Jenih, Melaka. Menurut beliau, walaupun dengan hanya berniaga GTR Burger ini, dia dapat menampung pendidikan anak-anaknya sehinggakan ke luar negara dan pendapatan bulanan beliau boleh mencecah sehingga RM10, 000 sebulan. Kemampuan wanita yang berkebolehan seperti beliau yang ingin kita tanamkan dalam diri kalangan pelajar. “Siapa kata wanita tidak boleh berjaya dalam bidang perniagaan, semua memerlukan usaha dan kesabaran”. Tambah beliau lagi.

Sesi terakhir ialah perkongsian daripada pemilik gerai GTR Burger di Peserai dan Bukit Perdana, Batu Pahat iaitu En Azizi. Menurut beliau, dia hanya bermula sebagai peniaga burger jalanan kecil-kecilan sehinggalah dia menemukan GTR Burger. Menurut beliau GTR Burger ini mempunyai sistem perniagaan yang strategik dan keunikan rasa burger yang berbeza sehinggakan beliau mampu berjaya seperti sekarang. Pemasaran Digital sangat penting dalam perniagaan dek kerana sekarang kita melalui zaman dimana segalanya hanya diatas talian. Tambahan lagi, anak-anak muda sekarang sangat mesra dengan era digital, jadi sangat mudah untuk mereka menjalankan perniagaan atas talian.

Program melabuhkan tirai sekitar jam 1 petang dengan sesi bergambar dan jamuan burger tajaan GTR Burger. PTU menandatangani Surat Niat Kolaborasi bersama GTR Burger diakhir program. Pihak PTU juga berhasrat untuk membeli dua kiosk untuk perniagaan GTR Burger bagi pelajar di dalam kampus mendapat peluang berniaga burger dengan sistem aplikasi digital yang sangat memudahkan.


Sorotan Lensa Program